Semua kita mencari kesempurnaan dalam memiliki cinta. Sang pemuda
mencari pemudi yang cantik, menawan, baik hati dan sebagainya. Sang
pemudi mencari pemuda yang tampan, romantik, jujur dan seangkatannya.
Kesian kepada yang kurang tampan dan kurang cantik. Kerana begitulah
lumrah manusia, mahukan yang cantik, menarik dan sempurna.
Terkadang
yang cantik sudah bertemu dengan yang tampan, tapi akhirnya cinta hanya
sekerat jalan. Kenapa jadi sedemikian? Perhubungan cinta hanya sekadar
atas dasar rupa paras? Rasulullah SAW ada bersabda dalam hadits yang
diriwayatkan oleh Abu Dawud dan Ahmad:
"Cintamu kepada sesuatu menjadikan kamu buta dan tuli."
Cinta
juga menuntut pengorbanan. Ada yang sanggup mengorbankan keluarga
sendiri demi mengikut pilihan hati. Ada yang sanggup mengorbankan
‘study” untuk bersama kekasih hati. Ada yang sanggup mengorbankan maruah
sendiri demi membuktikan cinta sejati. Ada yang sanggup mengorbankan
jiwa demi meraih ketuanan cinta. Oh cinta.. penanganmu hebat, membuat
manusia gembira, tawa, bahagia, sedih, duka, lara, derita, gila dan
sebagainya.
Hari ini penulis mengajak kita belajar cinta dari Abu
Utsman, kisahnya ditulis oleh Imam Al Jauzi dalam salah satu kitabnya,
Shaidul Khathir. Kisah cinta, rupa paras, pengorbanan, kesetiaan,
kesabaran dan kebahagiaan.
Suatu saat, Abu Utsman dikejutkan dengan satu permintaan dari seorang wanita.
“Wahai Abu Utsman,” kata wanita itu, “Sungguh aku mencintaimu.”
Suasana hening sejenak. “Aku memohon, atas nama Allah, agar sudilah kiranya engkau menikahiku,” lanjutnya.
Lelaki
yang bernama lengkap Abu Utsman An Naisaburi itu diam. Beliat terkejut
sebentar dan terpaku tatkala mendengar perkataan wanita yang datang
kepadanya itu. Ia tidak mengenal wanita ini dengan baik. Namun,
tiba-tiba saja wanita ini datang menemuinya dan menyatakan rasa cintanya
yang dalam kepadanya. Bahkan saat itu pula, atas nama Allah, wanita itu
meminta pada Abu Utsman untuk menikahinya.
Abu Utsman diam.
Memikirkan keputusan apa yang hendak diambilnya. Sebagai seorang pemuda,
ia dihadapkan pada sebuah keputusan besar dalam hidupnya. Sebuah
keputusan yang mungkin akan dijalaninya selama lebih dari separuh
usianya dan separuh imannya. Selama ini keluarganya senantiasa
mendorongnya untuk segera meminang salah seorang wanita solehah di
wilayah itu. Namun, ia selalu menolak dorongan dari keluarganya itu
hingga hari ini. Maka, sampai sekarang ia masih juga membujang. Ia akan
mengambil sebuah keputusan besar dalam hidupnya, termasuk segala akibat
dan kesan yang menyertainya.
Abu Utsman kemudian berkunjung ke
rumah wanita itu. Ia mendapati orangtua si wanita adalah orang yang
miskin. Namun, keputusannya tetaplah bulat untuk meminang si wanita yang
datang menyatakan cinta kepadanya itu. Terlebih lagi kerana wanita itu
memintanya untuk menikahinya. Ia menyaksikan kebahagiaan yang berlimpah
pada raut wajah orangtua si wanita itu saat mendengar bahawa puterinya
dipinang oleh Abu Utsman, lelaki yang berilmu, tampan, soleh, penyabar,
setia, jujur, tulus, dan terhormat.
Mereka pun akhirnya selamat diijabkalbulkan.
Tahun
demi tahun berlalu, hingga akhirnya sang isteri itu meninggal dunia
lima belas tahun kemudian. Namun, sejak malam pengantin mereka ada kisah
yang baru terungkap setelah kematian sang isteri. “Ketika wanita itu
datang menemuiku,” kisahnya, “Barulah aku tahu bahawa matanya juling dan
wajahnya sangat jelek dan buruk. Namun, ketulusan cintanya padaku telah
menambat hatiku. Aku pun terus duduk dan menyambutnya tanpa sedikit pun
mengekspresikan rasa benci dan marah. Semua itu aku lakukan demi
menjaga perasaannya. Walaupun aku bagai berada di atas panggang api
kemarahan dan kebencian.”
Ah, kita jangan marah pada Abu Utsman
yang mengharapkan isteri yang cantik dan sempurna, tetapi kemudian hanya
mendapatkan isteri juling dan buruk wajah. Itu merupakan sisi manusiawi
dari lelaki yang menginginkan kecantikan dan kesempurnaan sebagai
pendamping hidupnya.
“Begitulah ku lalui lima belas tahun dari
hidupku bersamanya hingga dia meninggal dunia,” demikian Abu Utsman
melebarkan kisahnya. “Maka, tiada amal yang paling kuharapkan pahalanya
di akhirat, selain masa-masa lima belas tahun dari kesabaran dan
kesetiaanku menjaga perasaannya dan ketulusan cintanya.”
Luarbiasa!
Cinta yang luarbiasa terbit dari insane yang luarbiasa. Apakah masih
ada kualiti pemuda seperti Abu Utsman ini lagi di abad ke 21 ini? Begitu
juga wanita mulia itu, beliau juga luarbiasa. Meskipun sang wanita itu
tahu bahawa dia bermata juling, meskipun sia tahu bahawa sia hanya anak
orang miskin, meskipun sia tahu bahawa dia bukan wanita berwajah cantik
molek, tapi dia memperjuangkan cintanya untuk memiliki orang yang
dicintainya itu. Ianya berhasil dan telah bersama mengharungi asam garam
kehidupan berkeluarga selama lima belas tahun sehingga maut datang
menjemputnya. Abu Utsman membuktikan bahawa ia adalah lelaki yang setia,
tulus, sabar, dan senantiasa menjaga perasaan sang isteri yang demikian
tulus mencintainya.
Itulah cinta! Cinta yang berpaksikan wahyu,
cinta yang diasaskan oleh keimanan kepada Allah SWT. Ianya indah dan
bahagia. Semakin indah kerana ianya disertai dengan pengorbanan,
kesetiaan, kesabaran dan perjuangan.
Suatu hari ada seorang
lelaki datang menemui Amirul Mu’minin Umar Al Khatthab dan berkata :
“Saya sudah tidak lagi mencintai isteriku”.
Maka, Umar berkata : “Sesungguhnya sebuah rumah tangga itu tidak cukup dibangunkan berdasarkan cinta semata.”
Engkau
benar wahai Amirul Mu’minin, memang tidak selamanya dengan cinta, namun
ada pengorbanan, terdapat pengabdian serta ditemukan perjuangan.
“Ya
Allah..., aku memohon kepada-Mu kecintaan kepada-Mu, kecintaan kepada
orang yang mencintai-Mu, dan aku meminta amalan yang dapat menghantarkan
aku kepada cinta-Mu.”
awesome !!
BalasPadam